YAN: Hari ini genap setahun tragedi kepala air dan banjir lumpur di Gunung Jerai yang mengorbankan tujuh nyawa.

Mereka yang maut dalam kejadian itu adalah Ahmad Din, 64, Shahruzi Mohamad, 53, Zainol Morad, 66, Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28, Ku Shuib Ku Abdullah, 91, dan Ridwan Poniman, 61.

Sementara mangsa yang terselamat, Abdullah Morad, 56, meninggal dunia Febuari lalu kesan daripada lumpur yang memasuki paru-parunya sehingga dijangkiti kuman.

Kejadian itu meninggalkan kesan mendalam kepada Faizan Hamid, 61, sepupu kepada dua mangsa adik beradik iaitu Zainol dan Abdullah Morad.

BACA: Bencana Gunung Jerai: Jasad mangsa keenam tragedi kepala air dijumpai

BACA: Bencana Gunung Jerai: Mangsa imbau detik cemas digulung kepala air

Katanya kejadian itu mengejutkan seluruh anggota keluarganya kerana tidak menyangka kedua-dua allahyarham tersenarai dalam nama mangsa yang terkorban.

Perasaan rindu akan kenangan bersama kedua-dua sepupunya masih kuat dan tak dapat dilupakan sehingga akhir hayat.

"Rasa sedih lah atas kehilangan dia dengan kejadian macam ni.. sebelah bapa ada buat tahlil untuk arwah," katanya.

Faizan Hamid (kanan) bersama Aziz Sulaiman melihat kembali video kejadian kepala air yang berlaku pada 18 Ogos lalu di Kampung Rendang Pasir, hari ini. - Foto Astro AWANI

Bagi Mohd Azmir Md Salleh, 42, kejadian itu masih segar dalam ingatannya dan meninggalkan kesan trauma.

Menceritakan kembali, ketika kejadian dia berada di bengkel kereta miliknya di Kampung Setoi air datang dengan deras masuk ke dalam bengkel.



Ketika itu isterinya masih dalam pantang bersama lima anaknya terperangkap di dalam rumah di Kampung Rendang Pasir.

Lebih menakutkannya dia tidak dapat kembali le rumah selepas titi ke rumahnya runtuh dibawa arus deras bersama bongkah kayu.

"Rasa takut tu masih ada terutama apabila kedatangan hujan lama baru ni hujan dekat dua jam dah berasa saya duduk di luar waktu itu teringat di rumah barang apa yang masih belum saya alihkan lagi anak-anak berada di mana," katanya.

Sementara itu Aziz Sulaiman, 59, berkata, tragedi itu banyak mengubah lanskap di Titi Hayun dan kampung terlibat antaranya Kampung Acheh, Kampung Setoi, Kampung Rendang Pasir, Kampung Pauh, Kampung Seri Perigi, Kampung Seberang Pekan Yan dan Kampung Batu Hampar.

Katanya, tempat yang dahulunya indah dan menjadi tumpuan pengunjung kini bertukar sunyi dan tidak secantik dahulu.

"Banyak benda yang berubah struktur tempat, sungai apa sahaja banyak yang telah berubah jadi hendak baik pulih ambil masa dan menelan banyak kos," katanya lagi.